24 April 2024, Bandar Seri Jempol – Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2024 Peringkat Daerah Jempol telah berlangsung dengan meriah semalam di Kompleks Pentadbiran Daerah Jempol. Sambutan kali ini adalah julung-julung kalinya diadakan secara kerjasama di antara Pejabat Ahli Parlimen Jempol bersama jabatan – jabatan dalam Pentadbiran Daerah Jempol.
Kehadiran tetamu kehormat iaitu YAB Dato’ Seri Utama Aminuddin bin Harun, Menteri Besar Negeri Sembilan, YB Dato’ Mohd Zafir bin Ibrahim, Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan serta Exco-exco Kerajaan Negeri Sembilan, Ahli – ahli Dewan Undangan Negeri dan Ketua Jabatan Peringkat Negeri telah disambut meriah oleh YB Parlimen Jempol Dato’ Hj Shamshulkahar bin Mohd Deli dan YBrs. Pegawai Daerah Jempol, Puan Nawal binti Mohamed Amin selaku tuan rumah.
YB Parlimen dan Puan Pegawai Daerah telah mengiringi YAB Menteri Besar melawat setiap gerai makanan jabatan yang menghidangkan 24 pelbagai juadah yang menarik termasuklah kambing golek, sate, cendol, nasi tomato, mee kari dan macam-macam lagi. Ini menunjukkan komitmen serta kerjasama yang jitu di antara jabatan dalam Pentadbiran Daerah Jempol.
Dianggarkan seramai 8000 tetamu telah hadir. Penyampaian sumbangan kepada asnaf turut diadakan kepada 13 buah keluarga yang berada dalam kariah Masjid Tuanku Muhriz dan Masjid Felda Serting Ilir 1. Majlis bermula pada jam 11.30 pagi dan tamat pada jam 3.00 petang. Terima kasih diucapkan kepada Pejabat Parlimen Jempol serta jabatan dalam Pentadbiran Daerah Jempol atas kerjasama bagi menjayakan program ini.