Perutusan Pegawai Daerah Jempol

Assalamualaikum w.bt., Salam Sejahtera, Salam Negeri Sembilan Bersih Muafakat, Sejahtera.

Penghargaan khusus saya titipkan kepada tuan/puan yang mengunjungi laman web rasmi Pejabat Daerah dan Tanah Jempol khususnya masyarakat daerah Jempol yang sentiasa memberikan perhatian terhadap dasar dan polisi kerajaan. Pejabat Daerah & Tanah Jempol merupakan agensi kerajaan yang memberikan perkhidmatan primier khususnya melibatkan isu tanah, percukaian, pembangunan fizikal dan masyarakat serta menyelaras segala aktiviti kerajaan di daerah Jempol.

Pejabat Daerah & Tanah Jempol sentiasa menitikberatkan soal kualiti penyampaian perkhidmatan di samping memperjuang integriti penjawat awam. Segala polisi dan dasar yang dijalankan adalah keputusan bersama daripada Kerajaan Negeri yang sentiasa berteraskan idealisme bukan kepentingan diri. Gejala rasuah dan penyalahgunaan kuasa jelas bertentangan dengan nilai akhlak dan etika penjawat awam maka laungan menolak rasuah perlu sentiasa digemakan.

Kewajarannya adalah bagi mengangkat dan memartabat nilai insan dengan kefahaman dan membebaskan minda dari terperangkap dengan corak pemikiran usang. Pentadbiran daerah Jempol melihat seluruh isu dari segala aspek. Sepertimana yang pernah digagaskan oleh Kerajaan Negeri, naratif dan wacana yang mendasar adalah pembangunan, membasmi kemiskinan dan kesenjangan pendapatan. Saya masih ingat lagi pesan Profesor Diraja Ungku Aziz dalam rencananya tentang kemiskinan pada tahun 1961.

Beliau secara sinis menyebut tentang sikap para perancang seperti pakar pendidikan dan pakar ekonomi yang kurang tawaduk dan arif permasalahan sebenar rakyat. Sementalahan itu kita perlu memberi dukungan dan gesaan agar agensi kerajaan mengambil semua langkah fiskal dan kewangan, pengurusan dan urus tadbir untuk menarik pelaburan domestik bagi memacu pertumbuhan lebih rancak bagi daerah Jempol khususnya Pembangunan mampan harus berpaksi kepada manusia; diasaskan melalui pendekatan baharu dan inovatif untuk menangani cabaran kemiskinan dan ketidaksamaan yang semakin melebar.

Saya berharap, masyarakat daerah Jempol dapat bersama-sama membangunkan daerah ini dengan kerjasama seluruh agensi kerajaan daerah Jempol demi kebaikan masyarakat sejagat. Seandainya kita berhasil memperkuat barisan kempimpinan dan masyarakat, kita akan muncul sebagai daerah yang membangun gagah, mempunyai tatanan yang mampan dan dihormati.

Sekian.

 

Syahrul Nizam bin Saleh
Pegawai Daerah Jempol

 

logo bm ns sprm bpa jpa msc   mampu spa

spr

mdec

malaysia