21 Disember 2023 | Telah berlangsung Majlis Penyerahan Geran Hak Milik Peserta Felcra Rompin B di Kompleks Pentadbiran Daerah Jempol. Penyerahan ini telah disempurnakan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Haji Aminuddin Bin Haji Harun. Seramai 99 orang peserta berjaya mendapat hakmilik tanah rancangan pinggir di Felcra Rompin B, Mukim Rompin sejak 53 tahun yang lalu. Ini selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri untuk membantu menyelesaikan isu-isu hak milik peneroka di Negeri Sembilan. Isu yang berlarutan sejak tahun 1970-an ini akhirnya selesai dengan pemberian geran hak milik kepada peserta. Kerajaan Negeri menghargai kesabaran peneroka-peneroka serta mengucapkan tahniah atas kejayaan menerima hak milik yang mereka nantikan selama ini. Semoga hak milik ini dapat dijaga dengan baik dan pemilik tanah menjalankan tanggungjawab membayar cukai tahunan.
Dalam majlis yang sama, turut diadakan sesi penyampaian cabutan bertuah kepada pembayar cukai tanah terawal di daerah Jempol. Pelbagai hadiah yang menarik telah diberikan kepada pemenang. Tahniah diucapkan dan berharap agar sikap bertanggungjawab dalam pembayaran cukai dapat diteruskan untuk tahun-tahun yang akan datang.
Pada sebelah petang pula, Puan Pegawai Daerah, Puan Nawal turut serta bersama Menteri Besar dalam Majlis Penyerahan Masjid Ar-Rahman yang bertempat di Bahau Daerah Jempol. Turut hadir di majlis tersebut adalah, YB Dato’ Setiausaha Kerajaan Negeri, YB Sahibus Samahah Mufti Kerajaan Negeri Sembilan, YBhg. Dato’ Pengarah UPEN, ADUN Bahau, ADUN Palong, ADUN Jeram Padang, ADUN Sg. Lui, Pengarah JKR Negeri Sembilan, Pegawai Daerah Jempol, YDP Majlis Perbandaran Jempol, wakil-wakil jabatan dan kariah setempat. Pada majlis ini turut diadakan upacara menandatangani Dokumen Penyerahan oleh Jurutera Daerah Jempol, Ts. WanGhazali bin Wan Asman Shukor, selaku Pegawai Penguasa Projek, kepada Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan, Dato’ Mohd. Zaidi Bin Ramli. Dalam majlis ini juga turut dilaksanakan pengumuman Persempadanan Kariah dan Pengisytiharan Solat Jumaat oleh YB Sahibus Samahah Mufti Kerajaan Negeri Sembilan.