Jempol merupakan salah sebuah daerah serta luak adat yang terdapat di Negeri Sembilan Darul Khusus. Daerah Jempol mengandungi 5 mukim iaitu Mukim Serting Ilir, Mukim Jelai, Mukim Kuala Jempol, Mukim Rompin dan Mukim Serting Ulu. Keluasannya ialah 148,458.42 hektar, dan jumlah penduduknya ialah sekitar 129,400 orang. Jempol juga merupakan daerah yang terbesar di Negeri Sembilan. Daerah ini terletak bersempadan dengan negeri Pahang di timur laut, Johor di selatan, daerah Tampin di barat daya, daerah Kuala Pilah di barat dan daerah Jelebu di utara. Bandar utamanya ialah Bahau, manakala pusat pentadbiran daerah terletak di Bandar Seri Jempol.
CERITA PERTAMA: Anak Perempuan To’ Batin
Asal nama Jempol itu dikatakan mendapat namanya sempena daripada peristiwa tragis yang berlaku ke atas seorang gadis bernama Jempo, anak kepada sorang To’ Batin bernama To’ Pileh. Oleh kerana kecantikannya maka telah manjadi rebutan ramai bujang teruna kampung. Disebabkan perasaan iri hati sesama sendiri, maka terjadilah sebaran fitnah terhadap Jempo kononnya dia telah melakukan perbuatan sumbang. Tanpa usul periksa, bapanya, To’ Pileh telah menjatuhkan hukuman bunuh terhadap anaknya dengan memaksa anaknya terjun ke dalam sungai yang dipenuhi ranjau buluh runcing yang tajam. Setelah anaknya terjun ke dalam sungai berkenaan maka teperciklah darahnya hingga ke tebing sungai. Dikatakan tempat percikan darah itu merah seperti darah dan tidak ditumbuhi rumput atau pokok-pokok hingga sekarang. Setelah beberapa lama kemudian, barulah To’ Pileh menyedari anaknya itu tidak bersalah, ia cuma dianayai oleh pemuda-pemuda yang tidak dapat memilikinya. Jadi bagi mengingati kejujurannya, To’ Pileh telah menamakan sungai tersebut sebagai Sungai Jampo.
CERITA KEDUA: Anak Lelaki To’ Batin
Seorang pemuda yang gagah perkasa bernama Jempo itu adalah anak kepada Tok Batin bernama Leban Condong seorang ketua orang asli tempatan dengan isterinya bernama Danau Rasau seorang wanita yang datang dari tanah Minang (sebenarnya Leban Condong dan Danau Rasau itu adalah nama tempat). Anak Tok Batin si Jempo itu selain dari gagah perkasa beliau juga mempunyai perangai jahat dan ditakuti penduduk yang tidak dapat berbuat apa-apa bagi menghalang kelakuan buruknya itu. Pada satu ketika Jempo telah jatuh hati kepada seorang anak gadis kampungnya bernama Melor. Kerana tidak mendapat layanan dari pihak keluarga gadis itu, pada suatu hari dalam perjalanan pulang dari ‘huma’ Melor telah ditahan oleh Jempo dan akhirnya Melor diperkosa yang menyebabkan gadis itu mengandung. Si Jempo terus berleluasa dengan perangai jahat bersikap ‘membujur lalu melintang patah’ terhadap mana-mana juga perempuan yang dihajatinya menyebabkan beliau mempunyai musuh sekeliling pinggang. Akhirnya Jempo mati terbunuh semasa terjun mandi dari atas sebatang pokok leban yang condong ke dalam sungai di tempat permandian yang telah sedia dipasang ranjau-ranjau tajam (buluh yang telah diruncingkan) oleh musuh-musuhnya yang telah bermuafakat untuk membunuhnya secara begitu kerana membalas dendam.
CERITA KETIGA: Perantau Dari Pasai, Sumatera
Menurut sumber lisan orang tua-tua, mengenai asal usul nama Jempol itu dikaitkan dengan kedatangan sembilan (9) orang bersaudara serta pengikutnya dari Pasai Sumatera. Mereka mencari perlindungan dan penempatan baru, kerana tempat tinggal mereka (di Sumatera) akan mengalami bencana gunung berapi. Rombongan itu telah berhenti di satu kuala sungai (Penarikan) untuk menambah barang keperluan. Salah seorang daripada mereka iaitu Datuk Sempadang telah mengarahkan pengikutnya pergi mencari dan meninjau di persekitaran kuala sungai itu, kira-kira setengah batu jauhnya. Diberitakan bahawa kawasan tersebut menarik dan cantik. Oleh demikian Datuk Sempadang telah menamakan kuala sungai tersebut sebagai Jempol (cantik) dari kuala hingga ke hulunya. Berdasarkan maklumat yang menyenangkan itu Datuk Sempadang mengambil keputusan untuk menetap di situ bersama-sama dengan pengikutnya. Kawasan tersebut dijadikan penempatan dan kawasan pertanian yang mana ia telah menarik ramai perantau-perantau yang turut serta pula menetap di situ.
Jempol adalah salah satu dari tiga belas (13) Luak (Luhak dalam bahasa Minang) Adat yang terdapat di dalam Negeri Sembilan. Tiga belas Luak itu terbahagi kepada tiga (3) kategori iaitu:
- Luak Undang
- Luak Tanah Mengandung
- Luak Adat
Rujukan:
- Majalah Warisan Negeri Sembilan (Sebelum Jempol bernama Jempol – A Rahim Hj Ismail)
- Luak Tanah Mengandung (A.Samad Idris, dll)
- Jejak Adat Perpatih (Luak Jempol)
- ujanglobek.blogspot.my (Asal Nama Jempol)
- dteam76.blogspot.my (Asal Usul Nama Tempat di Malaysia – Jempol, Negeri Sembilan)
- https://www.sejarah.my/asal-usul-nama-jempol-dan-sempadan-kawasan/